Skip to main content

Sultan Selangor kecewa dengan tindakan hina Nabi


SHAH ALAM -- Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah melahirkan kekecewaan dengan perbuatan menghina keperibadian junjungan besar Rasulullah SAW oleh segelintir golongan bukan Islam sejak kebelakangan ini.

Setiausaha Dewan Diraja Selangor Hanafisah Jais dalam satu kenyataan berkata, baginda menzahirkan kekecewaan itu selepas berbincang dengan ahli-ahli Dewan Diraja Selangor.

Sehubungan itu beliau berkata, bagi membendung gejala penghinaan ini agar tidak terus berlaku tanpa kawalan, Sultan Selangor mengingatkan rakyat terutama yang bukan beragama Islam, supaya menghentikan perbuatan mempersendakan keperibadian Rasulullah SAW dan mencemar kesucian agama Islam.

Ini kerana, katanya, perbuatan tersebut bukan sahaja boleh menggugat keharmonian dan perpaduan rakyat, malah boleh menyebabkan rusuhan antara kaum serta agama yang akan mengakibatkan permusuhan berpanjangan antara kaum di negara ini.

“Kejadian penghinaan terhadap Rasulullah SAW serta isu-isu yang mencemar kesucian agama Islam kerapkali berlaku dan telah sampai ke tahap mencabar kesabaran umat Islam. Agama Islam yang merupakan agama Persekutuan seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan seharusnya perlu sentiasa dihormati oleh setiap rakyat di negara ini,” katanya.

Menurut Hanafisah, walaupun perbuatan penghinaan terhadap Rasulullah SAW dan kesucian agama Islam merupakan satu kesalahan di bawah undang-undang dan tindakan undang-undang serta hukuman juga telah dikenakan terhadap mereka yang melakukannya, ia masih tetap berlaku dan seolah-olah tiada kesan terhadap tindakan undang-undang yang diambil terhadap golongan ini.

“Sejarah telah menunjukkan sesebuah negara boleh menjadi porak-peranda sekiranya rakyat bermusuhan atas sebab tidak menghormati agama yang dianuti oleh pelbagai kaum.

“Sebagai Raja yang merupakan ketua agama Islam negeri Selangor, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor menegaskan bahawa memelihara maruah agama Islam serta maruah junjungan Rasulullah SAW merupakan tuntutan utama dalam maqasid syariah dan menjadi tanggungjawab umat Islam untuk sentiasa mempertahankannya,” katanya.

Oleh itu, Hanafisah menegaskan, peringatan Sultan Selangor ini perlu diambil serius oleh rakyat keseluruhannya terutama golongan bukan Islam jika inginkan keharmonian dan perpaduan dalam kalangan kaum dan agama di negara ini terus kekal.

Katanya, peringatan oleh baginda bukan sekadar untuk golongan bukan Islam tetapi termasuk juga kepada umat Islam di mana mereka sendiri perlu sentiasa berwaspada dalam melontarkan sebarang pandangan berkaitan dengan agama lain.

Beliau seterusnya berkata, Ahli-ahli Dewan Diraja Selangor menjunjung segala titah Sultan Selangor dan turut berasa terkesan dengan kekecewaan yang dizahirkan oleh baginda berkaitan dengan isu penghinaan terhadap Rasulullah SAW dan agama Islam.

“Ahli-ahli Dewan Diraja Selangor menggesa supaya pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Peguam Negara mengambil berat akan peringatan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor dengan mengambil langkah-langkah berkesan dan efektif bagi menangani masalah ini.

“Penyiasatan terperinci terhadap mereka yang disyaki melakukan kesalahan perlu segera dilaksanakan dan tindakan pendakwaan diambil terhadap mereka yang tidak bertanggungjawab ini sekiranya terdapat keterangan yang mencukupi,” katanya.

Comments

Popular posts from this blog

Mahkamah meriah dengan tahanan reman lindungi rumah urut

PUTRAJAYA -- Mahkamah Majistret di sini “meriah” susulan prosiding reman beramai-ramai melibatkan 14 individu termasuk tujuh penjawat awam berkaitan dakwaan memberi dan menerima wang sogokan bagi melindungi premis urut di Kuala Lumpur. Tujuh penjawat awam terbabit ialah tiga anggota polis termasuk seorang ketua balai, seorang pegawai bomba dan tiga petugas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Mereka berserta tiga lagi orang awam yang disyaki berperanan sebagai ‘runner’ atau utusan dibawa ke mahkamah itu pada kira-kira 10 pagi menaiki bas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), menyusuli empat lagi individu dipercayai pemilik premis yang tiba di mahkamah itu kira-kira sejam sebelumnya, menaiki van SPRM.    Prosiding reman terhadap kesemua mereka tamat pada kira-kira pukul 1.30 tengah hari denga...

Ancaman obor-obor di Pulau Pinang serius

foto: flick.com GEORGE TOWN -- Kerajaan negeri Pulau Pinang memandang serius kes sengatan obor-obor berbahaya yang mampu menjejaskan aktiviti pelancongan dan sukan air serta laut di negeri ini. Exco Negeri bagi Seni, Budaya dan Warisan Yeoh Soon Hin berkata  kerajaan negeri telah memberikan dana berjumlah RM10,000 pada tahun 2017 kepada Pusat Kajian Samudera  dan Pantai (CEMACS), Universiti Sains Malaysia untuk mebuat pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor berbahaya di perairan Pulau Pinang khususnya di Teluk Bahang, Batu Ferringhi, Tanjung Bungah , Tanjung Tokong dan Pantai Bersih/Robina. "Kajian pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor sedang dijalankan bagi tempoh dua tahun yang akan berakhir pada hujung tahun ini. Fenomena obor-obor ini tidak terhad kepada perairan Pulau Pinang tetapi keseluruhan pantai barat termasuk Pulau Langkawi dan Pulau Pangkor. “Peningkatan kes sengatan obor-obor berkemungkinan besar disebabk...

Datuk Seri didakwa menipu RM19 juta

SHAH ALAM -- Seorang ahli perniagaan bergelar 'Datuk Seri' dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menipu seorang pengarah urusan membabitkan RM19 juta berhubung siasatan projek terowong dasar laut Pulau Pinang, dua tahun lepas. M. G. Gnanaraja, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh. Dia didakwa memperdayakan pengarah urusan Consortium Zenith Construction Sdn Bhd  untuk mempercayai bahawa dia boleh membantu mangsa menutup siasatan yang dimulakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap mangsa di bawah Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. Sehubungan itu, tertuduh didakwa dengan curangnya mendorong pengarah urusan tersebut menyerahkan kepadanya wang tunai RM4 juta dan RM15 juta melalui transaksi akaun Maybank milik Syarikat Visione Construction Sdn Bhd ke akau...