Skip to main content

Tragedi kejutan bagi seorang ibu



PEKAN -- Pasangan suami isteri Kamaruddin Mohd Zin dan Nor Hasidah Asbullah ingin membuat kejutan kepada keluarga mereka di kampung dengan pulang ke kampung tanpa memberitahu sesiapa terlebih dahulu.

'Kejutan' yang dirancang bagaimanapun berakhir dengan tragedi apabila Nor Hasidah dan dua anak pasangan itu maut selepas tercampak keluar daripada kereta dalam kemalangan di Kilometer 55 Jalan Pekan-Nenasi-Rompin berhampiran Kampung Badong di sini, hari ini. 

Ibu kepada Nor Hasidah, Gayah Mat Aruf, 54, yang bekerja sebagai kerani Felcra berkata arwah yang menetap di Taman Air Biru di Pasir Gudang, Johor tidak pernah berbuat demikian sebelum ini, malah akan memuat naik status mahu pulang ke kampung di laman sosial Facebook. 

"Saya hanya tahu mereka terlibat dalam kemalangan semasa berada di pejabat apabila ada yang menunjukkan gambar di WhatsApp. Saya cuba hubungi telefon bimbit anak, tapi tidak berjawab. 

"Kami berbual menerusi telefon minggu lalu dan arwah beritahu mereka tak balik cuti sekolah ini kerana suaminya kurang sihat... jadi tiada siapa yang boleh memandu," katanya kepada pemberita semasa ditemui di Unit Forensik Hospital Pekan di sini.

Gayah berkata beliau hanya mengetahui kematian anak kedua daripada empat beradik itu pada pukul 12 tengah hari, namun hanya mengetahui hanya seorang cucunya yang turut meninggal dunia. 

Katanya, kali terakhir mereka bertemu ialah pada cuti Tahun Baru Cina yang lepas, apabila anaknya menghantar pulang mentuanya, Selmor Salleh, 61, ke Kampung Temiang, Marang yang terletak kira-kira 30 kilometer dari rumah mereka di Felcra In Situ di Hulu Berang.

Dalam kemalangan 9.45 pagi tadi, Nor Hasidah, 32, dan dua anaknya Nur Auni Athirah Kamaruddin, 8, dan Muhammad Iffat Rizqi, 2, meninggal dunia selepas kereta Perodua Alza yang dinaiki mereka hilang kawalan dan berpusing sebelum masuk ke laluan bertentangan dan berlanggar dengan sebuah lori ais. 

Kemalangan juga menyebabkan Kamaruddin, 33, operator kilang di Pasir Gudang dan anak kedua pasangan itu Nur Syadni Syakirah, 3, cedera.

Menurut anggota keluarga, kedua-duanya telah dipindahkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan. 

Gayah memaklumkan jenazah tiga beranak itu akan dikebumikan di tanah perkuburan di Felcra In Situ pada malam ini. 

Sementara itu, Selmor memaklumkan semua anggota keluarganya tidak tahu mengenai kepulangan Kamaruddin, sedangkan sebelum ini anak keempat daripada tujuh beradik itu akan memberitahu sekurang-kurangnya kepada adik-beradiknya.

"Kalau dia nak terkejutkan mak cik sekalipun, pasti ada seorang dua adik yang tahu... kali ini kami memang tidak jangka dia nak pulang kerana dia selalunya pulang sekali dalam tempoh dua atau tiga bulan. 

"Sedangkan bulan lalu baharu saja dia hantar mak cik pulang selepas mak cik melawat anak-anak yang bekerja di Pasir Gudang. Dia tahu mak cik mudah mabuk jika naik bas, jadi dia kata tidak mengapalah dia pulang walaupun hanya sehari," katanya. 


Comments

Popular posts from this blog

Mahkamah meriah dengan tahanan reman lindungi rumah urut

PUTRAJAYA -- Mahkamah Majistret di sini “meriah” susulan prosiding reman beramai-ramai melibatkan 14 individu termasuk tujuh penjawat awam berkaitan dakwaan memberi dan menerima wang sogokan bagi melindungi premis urut di Kuala Lumpur. Tujuh penjawat awam terbabit ialah tiga anggota polis termasuk seorang ketua balai, seorang pegawai bomba dan tiga petugas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Mereka berserta tiga lagi orang awam yang disyaki berperanan sebagai ‘runner’ atau utusan dibawa ke mahkamah itu pada kira-kira 10 pagi menaiki bas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), menyusuli empat lagi individu dipercayai pemilik premis yang tiba di mahkamah itu kira-kira sejam sebelumnya, menaiki van SPRM.    Prosiding reman terhadap kesemua mereka tamat pada kira-kira pukul 1.30 tengah hari denga...

Ancaman obor-obor di Pulau Pinang serius

foto: flick.com GEORGE TOWN -- Kerajaan negeri Pulau Pinang memandang serius kes sengatan obor-obor berbahaya yang mampu menjejaskan aktiviti pelancongan dan sukan air serta laut di negeri ini. Exco Negeri bagi Seni, Budaya dan Warisan Yeoh Soon Hin berkata  kerajaan negeri telah memberikan dana berjumlah RM10,000 pada tahun 2017 kepada Pusat Kajian Samudera  dan Pantai (CEMACS), Universiti Sains Malaysia untuk mebuat pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor berbahaya di perairan Pulau Pinang khususnya di Teluk Bahang, Batu Ferringhi, Tanjung Bungah , Tanjung Tokong dan Pantai Bersih/Robina. "Kajian pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor sedang dijalankan bagi tempoh dua tahun yang akan berakhir pada hujung tahun ini. Fenomena obor-obor ini tidak terhad kepada perairan Pulau Pinang tetapi keseluruhan pantai barat termasuk Pulau Langkawi dan Pulau Pangkor. “Peningkatan kes sengatan obor-obor berkemungkinan besar disebabk...

Datuk Seri didakwa menipu RM19 juta

SHAH ALAM -- Seorang ahli perniagaan bergelar 'Datuk Seri' dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menipu seorang pengarah urusan membabitkan RM19 juta berhubung siasatan projek terowong dasar laut Pulau Pinang, dua tahun lepas. M. G. Gnanaraja, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh. Dia didakwa memperdayakan pengarah urusan Consortium Zenith Construction Sdn Bhd  untuk mempercayai bahawa dia boleh membantu mangsa menutup siasatan yang dimulakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap mangsa di bawah Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. Sehubungan itu, tertuduh didakwa dengan curangnya mendorong pengarah urusan tersebut menyerahkan kepadanya wang tunai RM4 juta dan RM15 juta melalui transaksi akaun Maybank milik Syarikat Visione Construction Sdn Bhd ke akau...