Skip to main content

Ada arahan hentikan siasatan kem Wang Kelian


PUTRAJAYA -- Seorang saksi hari ini memberitahu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai penemuan kem penempatan sementara dan kubur di Wang Kelian, Perlis bahawa beliau diarahkan tidak meneruskan siasatan selepas penemuan mayat pertama di puncak Bukit Wang Burma pada 6 Mac 2015.

Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis (IPD) Padang Besar ASP Junaidy Md Saad memberitahu arahan tersebut dikeluarkan pegawai atasan selepas penemuan mayat itu diklasifikasikan sebagai kes kematian mengejut atau SDR.

Junaidy berkata beliau tidak pasti mengapa arahan tersebut dikeluarkan oleh Ketua Polis Daerah Padang Besar sedangkan pegawai atasannya itu terlibat mengetuai misi menggali struktur tanah menyerupai kubur bersama pasukan forensik ketika kunjungan semula ke lokasi kejadian pada 6 Mac.

“Misi hari itu adalah untuk memastikan sama ada terdapat mayat dalam struktur tanah tersebut dan selepas menggali pada kedalaman lebih satu kaki, anggota forensik ternampak kain kapan berwarna putih.

“Selepas dibuka, kami ternampak satu mayat menyerupai manusia yang reput dan berbau…mayat tidak dikeluarkan sebaliknya ditimbus semula selepas diambil gambar,” katanya ketika memberi keterangan pada hari keempat di hadapan tujuh panel RCI yang diketuai bekas Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria di sini hari ini.

Junaidy yang kini Ketua Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti di IPD Pendang, Kedah berkata anggota forensik kemudiannya bertindak menanda 34 struktur tanah berbentuk kubur lain dengan nombor forensik untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata atas arahan Ketua Polis Daerah Padang Besar, satu SDR dibuka pada 8 Mac ke atas satu mayat yang digali bagi proses bedah siasat mengenal pasti punca kematian.

"Selepas tarikh itu, saya tidak membuat apa-apa siasatan atau tindakan susulan selepas diarahkan berbuat demikian oleh Ketua Polis Daerah sehinggalah dipanggil ke Bukit Aman bertemu Timbalan Ketua Polis Negara pada 11 Mei 2015," katanya.

Junaidy sebelum itu memberitahu suruhanjaya bahawa tindakan kembali semula ke kem tersebut dibuat selepas menemubual 38 pendatang tanpa izin yang ditahan pada 19 Januari 2015, yang mana enam daripada mereka memberitahu ternampak struktur tanah menyerupai kubur di kem penempatan sementara itu.

Berikutan itu, katanya beliau diarah ke lokasi tersebut pada 23 Januari bagi mendapat gambaran awal serta membuat lakaran kasar kawasan penempatan tersebut untuk dibentangkan kepada pihak atasan.

Selepas membentangkan laporan yang disediakan, beliau bersama Ketua Polis Daerah Padang Besar bersama pasukan forensik kontinjen Perlis kembali semula ke kawasan penempatan pada 6 Mac dengan misi mengenal pasti apakah wujud mayat di dalam struktur tanah menyerupai kubur tersebut, katanya.

Disoal bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Norian Mai yang juga timbalan pengerusi RCI mengapa tiada tindakan segera dibuat berdasarkan firasat bahawa ia kes jenayah, Junaidy berpandangan dia tidak boleh mengambil tindakan sewenang-wenangnya tanpa arahan pegawai atasan kerana ia kes besar selain tidak berpengalaman mengendalikan kes sedemikian.

Junaidy juga memberitahu RCI kes yang dahulunya diklasifikasikan sebagai kertas enkuairi polis (KEP) ditukar dan disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran  (ATIPSOM) 2007 selepas pertemuannya bersama Timbalan Ketua Polis Negara pada 11 Mei 2015.

Menurutnya, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar kemudiannya melancarkan Op Wawasan Khas pada 25 Mei 2015 bagi pemeriksaan menyeluruh di kawasan Bukit Wang Burma dan Genting Perah dengan operasi dikendalikan sepenuhnya oleh Bukit Aman.

Operasi itu yang disusuli dengan Op Wawasan Khas 2 pada 16 Ogos 2015 menemui 106 mayat, yang  mana selain di dalam tanah, terdapat juga rangka manusia dijumpai di dalam pondok tahanan, katanya.

Comments

Popular posts from this blog

Mahkamah meriah dengan tahanan reman lindungi rumah urut

PUTRAJAYA -- Mahkamah Majistret di sini “meriah” susulan prosiding reman beramai-ramai melibatkan 14 individu termasuk tujuh penjawat awam berkaitan dakwaan memberi dan menerima wang sogokan bagi melindungi premis urut di Kuala Lumpur. Tujuh penjawat awam terbabit ialah tiga anggota polis termasuk seorang ketua balai, seorang pegawai bomba dan tiga petugas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Mereka berserta tiga lagi orang awam yang disyaki berperanan sebagai ‘runner’ atau utusan dibawa ke mahkamah itu pada kira-kira 10 pagi menaiki bas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), menyusuli empat lagi individu dipercayai pemilik premis yang tiba di mahkamah itu kira-kira sejam sebelumnya, menaiki van SPRM.    Prosiding reman terhadap kesemua mereka tamat pada kira-kira pukul 1.30 tengah hari denga...

Ancaman obor-obor di Pulau Pinang serius

foto: flick.com GEORGE TOWN -- Kerajaan negeri Pulau Pinang memandang serius kes sengatan obor-obor berbahaya yang mampu menjejaskan aktiviti pelancongan dan sukan air serta laut di negeri ini. Exco Negeri bagi Seni, Budaya dan Warisan Yeoh Soon Hin berkata  kerajaan negeri telah memberikan dana berjumlah RM10,000 pada tahun 2017 kepada Pusat Kajian Samudera  dan Pantai (CEMACS), Universiti Sains Malaysia untuk mebuat pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor berbahaya di perairan Pulau Pinang khususnya di Teluk Bahang, Batu Ferringhi, Tanjung Bungah , Tanjung Tokong dan Pantai Bersih/Robina. "Kajian pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor sedang dijalankan bagi tempoh dua tahun yang akan berakhir pada hujung tahun ini. Fenomena obor-obor ini tidak terhad kepada perairan Pulau Pinang tetapi keseluruhan pantai barat termasuk Pulau Langkawi dan Pulau Pangkor. “Peningkatan kes sengatan obor-obor berkemungkinan besar disebabk...

Datuk Seri didakwa menipu RM19 juta

SHAH ALAM -- Seorang ahli perniagaan bergelar 'Datuk Seri' dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menipu seorang pengarah urusan membabitkan RM19 juta berhubung siasatan projek terowong dasar laut Pulau Pinang, dua tahun lepas. M. G. Gnanaraja, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh. Dia didakwa memperdayakan pengarah urusan Consortium Zenith Construction Sdn Bhd  untuk mempercayai bahawa dia boleh membantu mangsa menutup siasatan yang dimulakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap mangsa di bawah Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. Sehubungan itu, tertuduh didakwa dengan curangnya mendorong pengarah urusan tersebut menyerahkan kepadanya wang tunai RM4 juta dan RM15 juta melalui transaksi akaun Maybank milik Syarikat Visione Construction Sdn Bhd ke akau...