Skip to main content

Atlet taekwondo diarah minta maaf kepada warga emas


KUALA LUMPUR -- Atlet taekwondo kebangsaan, Nur Dhia Liyana Shaharuddin hari ini diperintah mengemukakan permohonan maaf terhadap seorang warga emas kelainan upaya, yang memenangi saman berhubung dakwaan diserang dan ditendang di kaki oleh atlet wanita itu di stesen LRT Putra Heights, dua tahun lepas.

Peguam Datuk Dr S. Arunan, yang mewakili Placid P. Rodriguez, 71, berkata Hakim Mahkamah Sesyen Sivil Lalilatul Zuraida Harron@Harun mengarahkan Nur Dhia Liyana, 25, mengemukakan permohonan maaf bertulis yang akan diterbitkan di media cetak dalam tempoh sebulan bermula hari ini.

Arunan berkata mahkamah membuat keputusan itu selepas membenarkan saman difailkan bekas pegawai keselamatan, Rodriguez yang separa buta dan separa pekak, selaku plaintif pada 6 Dis 2017 terhadap Nur Dhia Liyana selaku defendan.

"Mahkamah turut memerintahkan atlet berkenaan membayar ganti rugi am RM1,000 dan ganti rugi khas RM88 serta kos RM1,000 kepada plaintif," kata peguam itu selepas keputusan kes saman dalam kamar hakim, hari ini.

Dalam pernyataan tuntutan, plaintif mendakwa pada 6 Julai 2017 beliau pulang dari kerja menaiki LRT menuju ke Putra Heights dan setibanya di stesen berkenaan, beliau membenarkan penumpang-penumpang lain untuk turun terlebih daripada LRT tersebut.

Plaintif bertindak sedemikian kerana ingin mengelak daripada kesesakan yang boleh menyebabkannya tertolak tanpa arah tuju dan setelah kebanyakan penumpang dari LRT itu turun, beliau mula berjalan keluar dari LRT ke arah platform berpandukan garisan kuning di platform stesen tersebut. 

Dakwa plaintif ketika beliau berjalan di platform itu, tiba-tiba beliau telah ditolak oleh defendan sehingga menyebabkannya berada di dalam keadaan terkejut dan beliau yang ketika itu memakai alat bantuan pendengaran, terdengar suara perempuan yang memarahinya dengan kata-kata dan jeritan. 

Plaintif mendakwa defendan juga telah melakukan serangan dan serang sentuh sebanyak tiga kali di kaki kiri dan dua kali di kaki kanannya serta melemparkan kata-kata dan jeritan yang memalukan di khalayak ramai. 

Dakwa plaintif, beliau telah merayu agar defendan berhenti menyerangnya namun rayuan itu tidak diendahkan oleh defendan yang terus-menerus menyerang plaintif tanpa sebarang rasa belas.

Plaintif berkata terdapat satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di LRT Putra Heights yang menunjukkan dengan jelas kejadian berkenaan.

Akibat perbuatan defendan, plaintif mengalami kesakitan dan turut mengalami tekanan mental dan emosi serta trauma untuk keluar bersendirian kerana takut kejadian sama berulang.

Sementara itu, Arunan memberitahu pemberita bahawa saman itu difailkan bukan bertujuan untuk menuntut wang semata-mata tetapi lebih kepada menuntut keadilan atas apa yang terjadi.

"Apa yang lebih penting, defendan (Nur Dhia Liyana) perlu memohon maaf kepada anak guam saya," katanya.

Prosiding hari ini turut dihadiri Rodriguez, yang memegang tongkat dengan ditemani anggota keluarganya. 

Pada 8 Ogos tahun lepas, Mahkamah Majistret Petaling Jaya melepas tanpa membebaskan Nur Dhiya Liyana atas pertuduhan mencederakan Rodriguez selepas representasi untuk menggugurkan kes diterima.

Comments

Popular posts from this blog

Mahkamah meriah dengan tahanan reman lindungi rumah urut

PUTRAJAYA -- Mahkamah Majistret di sini “meriah” susulan prosiding reman beramai-ramai melibatkan 14 individu termasuk tujuh penjawat awam berkaitan dakwaan memberi dan menerima wang sogokan bagi melindungi premis urut di Kuala Lumpur. Tujuh penjawat awam terbabit ialah tiga anggota polis termasuk seorang ketua balai, seorang pegawai bomba dan tiga petugas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Mereka berserta tiga lagi orang awam yang disyaki berperanan sebagai ‘runner’ atau utusan dibawa ke mahkamah itu pada kira-kira 10 pagi menaiki bas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), menyusuli empat lagi individu dipercayai pemilik premis yang tiba di mahkamah itu kira-kira sejam sebelumnya, menaiki van SPRM.    Prosiding reman terhadap kesemua mereka tamat pada kira-kira pukul 1.30 tengah hari denga...

Ancaman obor-obor di Pulau Pinang serius

foto: flick.com GEORGE TOWN -- Kerajaan negeri Pulau Pinang memandang serius kes sengatan obor-obor berbahaya yang mampu menjejaskan aktiviti pelancongan dan sukan air serta laut di negeri ini. Exco Negeri bagi Seni, Budaya dan Warisan Yeoh Soon Hin berkata  kerajaan negeri telah memberikan dana berjumlah RM10,000 pada tahun 2017 kepada Pusat Kajian Samudera  dan Pantai (CEMACS), Universiti Sains Malaysia untuk mebuat pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor berbahaya di perairan Pulau Pinang khususnya di Teluk Bahang, Batu Ferringhi, Tanjung Bungah , Tanjung Tokong dan Pantai Bersih/Robina. "Kajian pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor sedang dijalankan bagi tempoh dua tahun yang akan berakhir pada hujung tahun ini. Fenomena obor-obor ini tidak terhad kepada perairan Pulau Pinang tetapi keseluruhan pantai barat termasuk Pulau Langkawi dan Pulau Pangkor. “Peningkatan kes sengatan obor-obor berkemungkinan besar disebabk...

Datuk Seri didakwa menipu RM19 juta

SHAH ALAM -- Seorang ahli perniagaan bergelar 'Datuk Seri' dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menipu seorang pengarah urusan membabitkan RM19 juta berhubung siasatan projek terowong dasar laut Pulau Pinang, dua tahun lepas. M. G. Gnanaraja, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh. Dia didakwa memperdayakan pengarah urusan Consortium Zenith Construction Sdn Bhd  untuk mempercayai bahawa dia boleh membantu mangsa menutup siasatan yang dimulakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap mangsa di bawah Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. Sehubungan itu, tertuduh didakwa dengan curangnya mendorong pengarah urusan tersebut menyerahkan kepadanya wang tunai RM4 juta dan RM15 juta melalui transaksi akaun Maybank milik Syarikat Visione Construction Sdn Bhd ke akau...