Skip to main content

Bas masuk longkang besar, 11 maut ke tempat kerja


SEPANG -- Sebelas orang dengan hampir kesemuanya warga asing maut selepas bas pekerja yang mereka naiki jatuh ke dalam longkang besar berhampiran kawasan MASKargo, Sepang, malam tadi.

Ketua Polis Daerah KLIA ACP Zulkifli Adamshah berkata mereka yang maut dalam kejadian kira-kira 11.10 malam itu terdiri 10 penumpang bas warga asing dan seorang pemandu bas warga tempatan.

Sembilan daripada mereka meninggal dunia di tempat kejadian dan dua lagi mangsa meninggal dunia di hospital, masing-masing satu di Hospital Serdang dan Hospital Putrajaya, katanya ketika dihubungi hari ini.

"Ia pertama kali kawasan tersebut terlibat dengan kemalangan maut. Ia bukan kawasan bahaya. Cuaca juga baik malam tadi,” kata Zulkifli ketika ditemui di Hospital Serdang.  

Menurut bomba, bas berkenaan yang membawa 43 penumpang jatuh kira-kira empat meter ke dalam longkang yang mempunyai kedalaman keseluruhan 20 meter.

Ketika bomba tiba di lokasi kejadian, kesemua 44 mangsa termasuk pemandu bas terperangkap di dalam bas berkenaan.

Zulkifli berkata warga asing yang maut terdiri daripada tiga warga Indonesia, dua Bangladesh dan lima Nepal.

Beliau berkata pihak kedutaan terlibat telah dihubungi untuk urusan pengendalian jenazah warga masing-masing.

Penumpang lain yang cedera dalam kemalangan itu pula dibawa ke Hospital Serdang, Hospital Putrajaya, Hospital Banting dan Hospital Kajang untuk rawatan, katanya.

Menurutnya, siasatan awal mendapati bas terbabit membawa 43 penumpang warga asing yang juga pekerja kontrak MASKargo itu untuk ke tempat kerja dari asrama mereka di Nilai, Negeri Sembilan.

Mereka sepatutnya memulakan shif kerja di MASKargo pada 12 tengah malam, katanya.

Namun, katanya, polis sedang menyiasat mengapa bas berkenaan tidak menghala ke arah bangunan MASKargo sebalik menuju ke arah bangunan kejuruteraan atau hangar lapangan terbang.

"Ini juga kami akan siasat,” katanya, sambil menambah polis akan mengambil keterangan daripada mangsa yang cedera hari ini juga.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Menurutnya, pemandu bas berkenaan didapati tidak memiliki rekod kesalahan trafik.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor berkata seramai 37 pegawai dan anggota bersama lima jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) KLIA, BBP Cyberjaya dan BBP Sepang terlibat membantu di lokasi kejadian.

Di PUTRAJAYA, syarikat pembekal tenaga kerja, Mutiara Kayamas Sdn Bhd berkata 44 mangsa termasuk pemandu bas yang terlibat dalam kemalangan tersebut merupakan pekerjanya. 

Eksekutif sumber manusia syarikat itu Nur Nadiah Wahab berkata majikan sedang menghulur bantuan terhadap pekerja yang cedera. 

Menurutnya, 16 mangsa dimasukkan di wad kecemasan di Hospital Putrajaya ekoran kemalangan itu termasuk seorang yang meninggal dunia semasa menerima rawatan, manakala selebihnya dimasukkan ke Hospital Banting dan Hospital Serdang. 

"Kita biarkan mereka rehat sebelum dibenarkan keluar. Bagi yang meninggal dunia, kita akan membantu melakukan pengurusan proses penghantaran pulang mayat ke negara masing-masing,” katanya ketika dihubungi hari ini. 

Tinjauan Bernama di Hospital Putrajaya, kelihatan pihak majikan menjemput tujuh mangsa bagaimanapun mereka dikawal rapi dan tidak dibenarkan bercakap dengan media ketika meninggalkan perkarangan hospital tersebut. 

Difahamkam mereka dihantar ke hospital swasta untuk rawatan selanjutnya. 


Comments

Popular posts from this blog

Mahkamah meriah dengan tahanan reman lindungi rumah urut

PUTRAJAYA -- Mahkamah Majistret di sini “meriah” susulan prosiding reman beramai-ramai melibatkan 14 individu termasuk tujuh penjawat awam berkaitan dakwaan memberi dan menerima wang sogokan bagi melindungi premis urut di Kuala Lumpur. Tujuh penjawat awam terbabit ialah tiga anggota polis termasuk seorang ketua balai, seorang pegawai bomba dan tiga petugas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Mereka berserta tiga lagi orang awam yang disyaki berperanan sebagai ‘runner’ atau utusan dibawa ke mahkamah itu pada kira-kira 10 pagi menaiki bas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), menyusuli empat lagi individu dipercayai pemilik premis yang tiba di mahkamah itu kira-kira sejam sebelumnya, menaiki van SPRM.    Prosiding reman terhadap kesemua mereka tamat pada kira-kira pukul 1.30 tengah hari denga...

Ancaman obor-obor di Pulau Pinang serius

foto: flick.com GEORGE TOWN -- Kerajaan negeri Pulau Pinang memandang serius kes sengatan obor-obor berbahaya yang mampu menjejaskan aktiviti pelancongan dan sukan air serta laut di negeri ini. Exco Negeri bagi Seni, Budaya dan Warisan Yeoh Soon Hin berkata  kerajaan negeri telah memberikan dana berjumlah RM10,000 pada tahun 2017 kepada Pusat Kajian Samudera  dan Pantai (CEMACS), Universiti Sains Malaysia untuk mebuat pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor berbahaya di perairan Pulau Pinang khususnya di Teluk Bahang, Batu Ferringhi, Tanjung Bungah , Tanjung Tokong dan Pantai Bersih/Robina. "Kajian pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor sedang dijalankan bagi tempoh dua tahun yang akan berakhir pada hujung tahun ini. Fenomena obor-obor ini tidak terhad kepada perairan Pulau Pinang tetapi keseluruhan pantai barat termasuk Pulau Langkawi dan Pulau Pangkor. “Peningkatan kes sengatan obor-obor berkemungkinan besar disebabk...

Datuk Seri didakwa menipu RM19 juta

SHAH ALAM -- Seorang ahli perniagaan bergelar 'Datuk Seri' dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menipu seorang pengarah urusan membabitkan RM19 juta berhubung siasatan projek terowong dasar laut Pulau Pinang, dua tahun lepas. M. G. Gnanaraja, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh. Dia didakwa memperdayakan pengarah urusan Consortium Zenith Construction Sdn Bhd  untuk mempercayai bahawa dia boleh membantu mangsa menutup siasatan yang dimulakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap mangsa di bawah Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. Sehubungan itu, tertuduh didakwa dengan curangnya mendorong pengarah urusan tersebut menyerahkan kepadanya wang tunai RM4 juta dan RM15 juta melalui transaksi akaun Maybank milik Syarikat Visione Construction Sdn Bhd ke akau...