Skip to main content

Doan dihukum penjara selepas mengaku bersalah


SHAH ALAM -- Mahkamah Tinggi  hari ini menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun empat bulan ke atas Doan Thi Huong selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan menyebabkan kecederaan ke atas abang pemimpin Korea Utara, Kim Chol atau Kim Jong-nam menggunakan racun VX,  di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2)  dua tahun lepas.

Hakim Datuk Azmi Ariffin ketika menjatuhkan hukuman tersebut ke atas wanita warga Vietnam berkenaan turut memerintahkannya menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh ditangkap iaitu pada 15 Feb 2017.

Dalam penghakimannya, beliau berkata  tertuduh yang merupakan anak bongsu daripada lima beradik bernasib baik kerana pihak pendakwaan menawarkan pertuduhan alternatif yang hanya membawa hukuman penjara 10 tahun berbanding pertuduhan asal iaitu membunuh yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

"Saya memutuskan ada kes prima facie dan memerintahkan kamu membela diri. Jika perbicaraan berlangsung, kamu mungkin boleh dilepaskan dan dibebaskan pada peringkat membela diri jika kamu dapat menimbulkan keraguan munasabah. Sejujurnya saya rasa kamu harus berterima kasih kepada Peguam negara dan Pendakwa Raya yang menawarkan pertuduhan alternatif,” katanya.

Doan, 30, yang berdiri di kandang tertuduh  mengucapkan terima kasih kepada hakim, peguam dan semua yang terlibat  dalam bahasa Vietnam yang diterjemahkan oleh jurubahasa.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Peguam Negara, mahkamah, Timbalan Pendakwa Raya, peguam,  Kedutaan Vietnam dan pihak media sepanjang kes ini berjalan," katanya.

Hakim kemudian berkata: “Kamu akan pulang ke pangkuan keluarga kamu tidak lama lagi.”

Terdahulu, peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili tertuduh memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan bermula dari tarikh anak guamnya ditangkap kerana ia adalah kesalahan pertama tertuduh di negara ini selain  tertuduh juga kesal dengan perbuatannya itu.

"Tertuduh meringkuk dalam penjara sejak ditahan pada 15 Feb 2017. Anak guam saya juga tidak bertanggungjawab atas apa yang berlaku pada hari kejadian itu," katanya. 

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Iskandar Ahmad memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira keseriusan kesalahan itu yang berlaku di tempat awam iaitu di kila2. 

"Saya memohon mahkamah mengambil kira kepentingan awam dalam kes ini," katanya. 

Mengikut pertuduhan, Doan  bersama empat lagi yang masih bebas didakwa dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan ke atas Kim Chol dengan menggunakan bahan yang berbahaya kepada tubuh badan apabila dimasukkan ke dalam saluran darah iaitu cecair racun VX di Balai Berlepas klia2 pada 9 pagi, 13 Feb 2017. 

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau dengan mana-mana dua  daripada seksaan itu.

Sepatutnya hari ini Doan membela diri atas pertuduhan membunuh, namun pihak pendakwaan menawarkan pertuduhan alternatif kepadanya.

Muhammad Iskandar memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak pembelaan telah mengemukakan representasi kedua supaya Jabatan Peguam Negara mengkaji pertuduhan membunuh yang dihadapi Doan.

‘Oleh itu pihak pendakwaan menawarkan pertuduhan alternatif mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan terhadap tertuduh,” katanya.

Hisyam ketika ditanya bila anak guamnya akan dibebaskan berkata Doan yang ditahan di Penjara Kajang dijangka tamat menjalani hukuman penjara itu  pada 5 Mei ini.

Pada 11 Mac lepas, Mahkamah Tinggi di sini melepas tanpa membebaskan Siti Aisyah, 26, warga Indonesia daripada pertuduhan membunuh Kim Chol dan selepas Siti Aisyah dibebaskan,  Doan melalui peguamnya mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara bagi mengkaji semula pertuduhan bunuh itu tetapi ia ditolak.

Pihak peguam kemudian mengemukakan representasi kedua. 

Pada 16 Ogos 2018, mahkamah memerintahkan Siti Aisyah dan Doan membela diri atas pertuduhan membunuh Kim Chol.

Sebelum ini mereka didakwa bersama empat lagi yang masih bebas membunuh Kim Chol, 45, di tempat, masa dan tarikh sama menurut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Perbicaraan peringkat pendakwaan  kes bunuh lelaki Korea Utara itu bermula pada 2 Okt 2017, dengan 34 saksi dipanggil memberi keterangan.

Perbicaraan kes berprofil tinggi itu  mendapat liputan meluas media tempatan dan antarabangsa  dengan kawalan keselamatan yang ketat sepanjang kes berlangsung dan kedua-dua tertuduh dikawal rapi serta memakai baju kalis peluru semasa dibawa ke dalam bilik bicara mahkamah.

Media juga tidak dibenarkan membawa masuk sebarang alat elektronik seperti telefon bimbit dan komputer riba ke dalam bilik bicara dan hanya seorang daripada setiap agensi berita dibenarkan masuk.

Semasa kes pendakwaan, Ketua Makmal Pusat Analisis Senjata Kimia, Jabatan Kimia Malaysia, Dr S. Raja ketika memberi keterangan berkata  insiden kematian Kim Chol disebabkan agen saraf VX adalah insiden kedua di dunia dan pertama di negara ini.

Pegawai penyiasat  kes ASP Wan Azirul Nizam Che Wan Aziz  dalam keterangannya berkata berdasarkan rakaman kamera litar tertutup di lapangan terbang itu,  Doan didapati menyapu sesuatu di muka Kim Chol.

Bagaimanapun Hisyam ketika membacakan percakapan beramaran anak guamnya,  berkata Doan  tidak tahu cecair berminyak yang disapukannya pada muka dan mata lelaki  itu adalah racun.

Katanya kedua-dua  tangan Doan disapukan sejenis cecair berminyak oleh seorang lelaki bernama Ri Ji Hyon atau dikenali sebagai Mr Y untuk membuat lakonan 'prank' (gurauan).  Mr Y ialah seorang daripada empat lelaki yang masih bebas dalam kes bunuh Kim Chol.

Pihak pendakwaan dalam kenyataan pembukaan pada hari pertama perbicaraan,  berkata si mati meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya bagi mendapatkan rawatan lanjut dan mayat si mati telah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur  untuk dibedah siasat dan sebab kematian si mati yang dinyatakan oleh pakar patalogi sebagai  “acute VX (Nerve Agent) poisoning”.

Comments

Popular posts from this blog

Proton SUV open for booking at RM1,000

KUALA LUMPUR -- National car maker, Proton Holdings Bhd, is adopting an alphanumerical naming system for its future models beginning with the X70, its first sport utility vehicle (SUV). Sales and Marketing Vice-President Abdul Rashid Musa said the letter X is synonymous with crossover or SUV vehicles, while the number 70 denoted the size or class of the SUV and would enable Proton to adopt a logical system to add bigger or smaller models in the future. “This is the first time an alphanumerical naming system is used on a Proton model as our research shows it will make it easier to sell in ASEAN and other international markets, as there are no language barriers to overcome,” he told reporters at the preview of the new SUV. Proton Chief Executive Officer Dr Li Chunrong said Proton's adoption of the new naming system would make customer more focus on the brand name as compared with the model name. Abdul Rashid, who is also the Chief Executive Officer o...

Mahkamah meriah dengan tahanan reman lindungi rumah urut

PUTRAJAYA -- Mahkamah Majistret di sini “meriah” susulan prosiding reman beramai-ramai melibatkan 14 individu termasuk tujuh penjawat awam berkaitan dakwaan memberi dan menerima wang sogokan bagi melindungi premis urut di Kuala Lumpur. Tujuh penjawat awam terbabit ialah tiga anggota polis termasuk seorang ketua balai, seorang pegawai bomba dan tiga petugas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Mereka berserta tiga lagi orang awam yang disyaki berperanan sebagai ‘runner’ atau utusan dibawa ke mahkamah itu pada kira-kira 10 pagi menaiki bas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), menyusuli empat lagi individu dipercayai pemilik premis yang tiba di mahkamah itu kira-kira sejam sebelumnya, menaiki van SPRM.    Prosiding reman terhadap kesemua mereka tamat pada kira-kira pukul 1.30 tengah hari denga...

Hujan lebat di Kelantan dijangka berlanjutan ke Januari

KOTA BHARU -- Jabatan Meteorologi Kelantan menjangkakan episod hujan lebat berkemungkinan akan berlanjutan ke bulan Januari tahun hadapan di negeri ini. Pengarahnya Rabiah Zakaria berkata ia berikutan Kelantan masih dipengaruhi Monsun Timur Laut pada bulan berkenaan. "Jabatan Meteorologi Malaysia sebelum ini menjangkakan akan berlaku empat hingga enam episod hujan lebat sepanjang Monsun Timur Laut pada tahun ini dengan purata jumlah hujan antara 440 milimeter (mm) hingga 690mm bagi bulan Disember ini di Kelantan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini. Rabiah berkata setakat ini empat episod hujan lebat telah berlaku di pantai timur termasuklah yang sedang berlaku sekarang. Beliau berkata pemantauan masih lagi diteruskan dari semasa ke semasa bagi menentukan kemungkinan tersebut kerana bulan Disember belum berakhir. "Jika ramalan itu berlaku, ia sedikit sebanyak mungkin akan memberi kesan kepada persediaan untuk sesi persekolahan baharu tahun ...