Skip to main content

Kredibiliti TH berjaya dipelihara


PUTRAJAYA -- Kejayaan menyelesaikan kemelut Lembaga Tabung Haji (TH) merupakan antara pencapaian besar Pakatan Harapan (PH) dalam setahun mentadbir negara.  

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata keutamaannya adalah untuk mengembalikan kredibiliti TH serta mengukuhkan semula kedudukan institusi kewangan Islam itu yang berada di bawah portfolionya.

Katanya, setelah melalui proses pemulihan dan penstrukturan semula, TH telah kembali kepada landasan asal dan kini menuju jalan ke arah masa hadapan yang lebih baik.

“Kita telah mulakan pakej menyelamatkan TH sejak kita (PH) ambil alih pentadbiran negara. Pada Disember 2018 kita isytiharkan kedudukan TH yang amat menyedihkan dan berlakunya pelanggaran akta yang menyebabkan ia menjadi antara skandal yang besar dalam sejarah negara kita.

“Kita datang menyelamat bagi memastikan TH dan pendeposit serta wang mereka dijamin keselamatannya. Alhamdulillah telah kita lunaskan,” katanya dalam sidang media di kementeriannya di sini baru-baru ini sempena setahun pentadbiran PH.

TH berjaya mencatatkan jumlah aset RM76.5 bilion berbanding jumlah tanggungan RM75.5 bilion, sekali gus membolehkan agihan hibah tidak melebihi RM1 bilion dibuat bagi tahun 2018 walaupun tidak pada kadar tinggi seperti sebelumnya memandangkan TH baru sahaja pulih.

Mujahid berkata usaha menyelamatkan TH itu merupakan antara perkara utama yang dijanjikan PH dalam manifestonya selain skandal penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Felda dan Majlis Amanah Rakyat (Mara).

Pada 9 Mei lepas, PH mengambil alih tampuk pemerintahan negara daripada Barisan Nasional yang tewas pada Pilihan Raya Umum ke-14 setelah 60 tahun mentadbir negara.

Mujahid berkata antara pencapaian lain di bawah pentadbiran kerajaan baharu itu adalah memperkasakan undang-undang Islam bagi membolehkan semua sekolah agama, pusat tahfiz dan tadika Islam di Wilayah Persekutuan berdaftar dan dikawal selia Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Selain itu, katanya, JPM bercadang memperkenalkan Mahkamah Khusus Kes Nafkah dan Hadnanah yang akan dibentang kepada Kabinet pada 8 Mei ini sebagai mahkamah khusus membicara dan menyelesaikan kes-kes Mahkamah Syariah yang melibatkan tuntutan bekas isteri terhadap bekas suami berkaitan pembayaran nafkah dan hak penjagaan anak.

Turut akan dibentangkan kepada Kabinet dijangka pada Jun ini adalah usaha menggubal undang-undang berkaitan profesion guaman Syarie (Wilayah-wilayah Persekutuan) ekoran ketidakseragaman amalan undang-undang itu antara negeri-negeri lain dan dapat ditadbir urus dengan lebih telus. 

Menteri itu turut melakukan perubahan dengan tidak memegang sebarang jawatan pengerusi mana-mana agensi di bawahnya berbanding sebelum ini bagi mengelak campur tangan kuasa antara menteri dan agensi serta membolehkan setiap agensi bergerak secara profesional.

Mujahid yang juga Anggota Parlimen Parit Buntar berkata beliau turut berjaya melaksanakan reformasi agensi dengan memperkenalkan tiga konsep gagasan pentadbiran Islam iaitu Rahmatan Lil Alamin, Maqasid Syariah dan Model Malaysia kepada 13 agensi yang berada di bawahnya.

Sepanjang tempoh peralihan kepada Malaysia baharu, pencapaian lain yang dihasilkan beliau adalah mewujudkan konsep Masjid RAHMAH bercirikan ramah, aman, harmoni, mesra, alami dan hormat.

Di peringkat antarabangsa pula, Mujahid dilantik oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Menteri Khas untuk berurusan dengan Bosnia Herzegovina dan hasil daripada itu, Malaysia Bosnia Trade Cooperation Association (MBTCA) berjaya ditubuhkan sebagai badan induk bagi membantu mengembangkan ekonomi dua hala antara Malaysia dan Bosnia sekali gus meningkatkan pelaburan.

Comments

Popular posts from this blog

Mahkamah meriah dengan tahanan reman lindungi rumah urut

PUTRAJAYA -- Mahkamah Majistret di sini “meriah” susulan prosiding reman beramai-ramai melibatkan 14 individu termasuk tujuh penjawat awam berkaitan dakwaan memberi dan menerima wang sogokan bagi melindungi premis urut di Kuala Lumpur. Tujuh penjawat awam terbabit ialah tiga anggota polis termasuk seorang ketua balai, seorang pegawai bomba dan tiga petugas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Mereka berserta tiga lagi orang awam yang disyaki berperanan sebagai ‘runner’ atau utusan dibawa ke mahkamah itu pada kira-kira 10 pagi menaiki bas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), menyusuli empat lagi individu dipercayai pemilik premis yang tiba di mahkamah itu kira-kira sejam sebelumnya, menaiki van SPRM.    Prosiding reman terhadap kesemua mereka tamat pada kira-kira pukul 1.30 tengah hari denga...

Ancaman obor-obor di Pulau Pinang serius

foto: flick.com GEORGE TOWN -- Kerajaan negeri Pulau Pinang memandang serius kes sengatan obor-obor berbahaya yang mampu menjejaskan aktiviti pelancongan dan sukan air serta laut di negeri ini. Exco Negeri bagi Seni, Budaya dan Warisan Yeoh Soon Hin berkata  kerajaan negeri telah memberikan dana berjumlah RM10,000 pada tahun 2017 kepada Pusat Kajian Samudera  dan Pantai (CEMACS), Universiti Sains Malaysia untuk mebuat pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor berbahaya di perairan Pulau Pinang khususnya di Teluk Bahang, Batu Ferringhi, Tanjung Bungah , Tanjung Tokong dan Pantai Bersih/Robina. "Kajian pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor sedang dijalankan bagi tempoh dua tahun yang akan berakhir pada hujung tahun ini. Fenomena obor-obor ini tidak terhad kepada perairan Pulau Pinang tetapi keseluruhan pantai barat termasuk Pulau Langkawi dan Pulau Pangkor. “Peningkatan kes sengatan obor-obor berkemungkinan besar disebabk...

Datuk Seri didakwa menipu RM19 juta

SHAH ALAM -- Seorang ahli perniagaan bergelar 'Datuk Seri' dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menipu seorang pengarah urusan membabitkan RM19 juta berhubung siasatan projek terowong dasar laut Pulau Pinang, dua tahun lepas. M. G. Gnanaraja, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh. Dia didakwa memperdayakan pengarah urusan Consortium Zenith Construction Sdn Bhd  untuk mempercayai bahawa dia boleh membantu mangsa menutup siasatan yang dimulakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap mangsa di bawah Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. Sehubungan itu, tertuduh didakwa dengan curangnya mendorong pengarah urusan tersebut menyerahkan kepadanya wang tunai RM4 juta dan RM15 juta melalui transaksi akaun Maybank milik Syarikat Visione Construction Sdn Bhd ke akau...