Skip to main content

Najib terima RM64 juta dalam akaun semasa


KUALA LUMPUR -- Pengurus Cawangan Ambank Jalan Raja Chulan, R.Uma Devi mendedahkan sebanyak  RM64 juta dimasukkan ke dalam akaun semasa milik Datuk Seri Najib Razak pada tahun 2014 dan 2015.

Beliau memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa daripada jumlah itu sebanyak RM37 juta dimasukkan daripada akaun syarikat Ihsan Perdana Sdn Bhd iaitu  syarikat yang menjalankan tanggungjawab sosial korporat untuk SRC International Sdn Bhd.

Uma Devi, yang membacakan penyataan saksinya, berkata berdasarkan kepada rekod transaksi masuk akaun semasa AmPrivate Banking-1MY milik Najib bernombor 211-202-201188-0, menunjukkan RM27 juta dimasukkan ke akaun itu pada 8 Julai 2014.

Saksi pendakwaan ke-21 itu berkata, jumlah sama dimasukkan ke dalam akaun sama milik Najib pada 26 Disember 2014 daripada akaun Ihsan Perdana dan syarikat itu juga memasukkan RM10 juta lagi  ke dalam akaun tersebut pada 10 Februari 2015.

“Mengikut Akta Keterangan 1950 di mana saya sahkan sepanjang pengetahuan dan kepercayaan saya semua cetakan dokumen (transaksi penyata akaun bank) dibuat dengan cetakan komputer dan komputer berada dalam keadaan baik, “ katanya ketika diminta mengesahkan dokumen itu pada perbicaraan kes Najib yang menghadapi tujuh pertuduhan melibatkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Uma Devi berkata demikian ketika merujuk penyata ambank  milik Najib bernombor 211-202-201188-0 AmPrivate Banking-1My dari tempoh  31 Julai 2013 hingga 9 Mac 2015.

Katanya, Najib menamakan nama utama dalam akaun itu ialah AmPrivate Banking-1My manakala nama Najib diletakkan kemudian.

“Nik Faisal Ariff Kamil (bekas Ketua Pegawai Eksekutif  SRC International) dilantik sebagai pegawai diberi kuasa bagi semua akaun Najib. Ini akan membolehkan Nik Faisal menguruskan akaun Najib di Ambank tanpa perlu merujuk kepada mana-mana akaun secara khusus, juga surat benarkan ambil buku cek dan penyata akaun,” katanya.

Katanya, surat arahan bagi pegawai diberi kuasa dikeluarkan oleh Najib sendiri kepada Pengurus Cawangan Ambank Jalan Raja Chulan, pada ketika itu.

Beliau berkata surat kebenaran itu membolehkan Nik Faisal mengeluarkan cek bernilai lebih RM250,000  di mana akaun tersebut diberi kemudahan untuk mengeluarkan cek.

Saksi itu berkata  pada 23 Jun 2014, Nik Faisal telah mengeluarkan satu surat arahan supaya RM3 juta dipindahkan daripada akaun Najib bernombor 211-202-2011888-0.

“Daripada jumlah itu,sebanyak RM1 juta telah diarahkan dimasukkan ke akaun peribadi milik Najib bernombor 211-202-201189-8,”katanya. 

Katanya, manakala, baki RM2 juta pula  dikreditkan ke akaun peribadia Najib yang bernombor 211-202-201190-6.

Uma Devi  juga berkata, wang berjumlah RM20 juta juga dipindah keluar dari  akaun 211-202-201188-0 dan dimasukkan ke akaun semasa lain AmPrivate Banking-1My milik Najib bernombor 211-202-201190-6 pada 8 Julai 2014. 

Beliau menjelaskan, RM3 juta pula dipindah keluar daripada akaun 211-202-201190-6 dan dimasukkan ke dalam akaun semasa Najib bernombor 211-202-201189-8.

“Nik Faisal turut mengeluarkan surat arahan debit mengarahkan  Ambank Cawangan Jalan Raja Chulan untuk memindahkan RM3,282,734.16 daripada akaun Najib dan dikreditkan amaun RM449,586.95  kepada kad kredit Visa Platinum.

"Selebihnya, iaitu RM2,833,147.21 dikreditkan kepada kad kredit Master Card Platinum,” katanya.

Terdahulu, saksi itu berkata ,RM27 juta  dipindah keluar ke Syarikat Permai Binaraya Sdn Bhd pada 29 Disember 2014 melalui arahan pindahan daripada Najib manakala RM10 juta dipindah keluar pada  10 Februari 2015 kepada akaun Najib bernombor 211-202-201190-6.

Saksi itu turut mengesahkan sepanjang pengetahuan dan kepercayaannya  semua dokumen dalam keadaan baik dari segi perjalanan dan seliaan Ambank semasa pemeriksaan utama Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Suhaimi Ibrahim.

Pada sesi pagi, Uma Devi  berkata  RM4 billon dimasukkan ke dalam akaun semasa  SRC bernombor 2112022009736 antara Ogos 2011 dan Mac 2012.

Katanya, RM2 billon dimasukkan  ke akaun itu pada 29 Ogos , 2011 dalam empat transaksi iaitu  RM500 juta setiap satu transaksi manakala RM2 bilion lagi dimasukkan pada 28 Mac 2012.

Najib, 66, yang juga bekas perdana menteri, didakwa atas tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kedudukan dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Terdahulu semasa perbicaraan sedang berjalan di mana saksi membacakan penyataan saksinya pada sesi petang, peguam bela Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang mewakili Najib, memohon supaya prosiding ditangguh sebentar.

“Saya tidak tahu tentang saksi itu tetapi saya benar-benar letih dan bosan,”katanya.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali menangguhkan prosiding selama 15 minit sebelum disambung semula pada jam 4.45 petang.

Comments

Popular posts from this blog

Mahkamah meriah dengan tahanan reman lindungi rumah urut

PUTRAJAYA -- Mahkamah Majistret di sini “meriah” susulan prosiding reman beramai-ramai melibatkan 14 individu termasuk tujuh penjawat awam berkaitan dakwaan memberi dan menerima wang sogokan bagi melindungi premis urut di Kuala Lumpur. Tujuh penjawat awam terbabit ialah tiga anggota polis termasuk seorang ketua balai, seorang pegawai bomba dan tiga petugas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Mereka berserta tiga lagi orang awam yang disyaki berperanan sebagai ‘runner’ atau utusan dibawa ke mahkamah itu pada kira-kira 10 pagi menaiki bas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), menyusuli empat lagi individu dipercayai pemilik premis yang tiba di mahkamah itu kira-kira sejam sebelumnya, menaiki van SPRM.    Prosiding reman terhadap kesemua mereka tamat pada kira-kira pukul 1.30 tengah hari denga...

Ancaman obor-obor di Pulau Pinang serius

foto: flick.com GEORGE TOWN -- Kerajaan negeri Pulau Pinang memandang serius kes sengatan obor-obor berbahaya yang mampu menjejaskan aktiviti pelancongan dan sukan air serta laut di negeri ini. Exco Negeri bagi Seni, Budaya dan Warisan Yeoh Soon Hin berkata  kerajaan negeri telah memberikan dana berjumlah RM10,000 pada tahun 2017 kepada Pusat Kajian Samudera  dan Pantai (CEMACS), Universiti Sains Malaysia untuk mebuat pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor berbahaya di perairan Pulau Pinang khususnya di Teluk Bahang, Batu Ferringhi, Tanjung Bungah , Tanjung Tokong dan Pantai Bersih/Robina. "Kajian pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor sedang dijalankan bagi tempoh dua tahun yang akan berakhir pada hujung tahun ini. Fenomena obor-obor ini tidak terhad kepada perairan Pulau Pinang tetapi keseluruhan pantai barat termasuk Pulau Langkawi dan Pulau Pangkor. “Peningkatan kes sengatan obor-obor berkemungkinan besar disebabk...

Datuk Seri didakwa menipu RM19 juta

SHAH ALAM -- Seorang ahli perniagaan bergelar 'Datuk Seri' dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menipu seorang pengarah urusan membabitkan RM19 juta berhubung siasatan projek terowong dasar laut Pulau Pinang, dua tahun lepas. M. G. Gnanaraja, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh. Dia didakwa memperdayakan pengarah urusan Consortium Zenith Construction Sdn Bhd  untuk mempercayai bahawa dia boleh membantu mangsa menutup siasatan yang dimulakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap mangsa di bawah Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. Sehubungan itu, tertuduh didakwa dengan curangnya mendorong pengarah urusan tersebut menyerahkan kepadanya wang tunai RM4 juta dan RM15 juta melalui transaksi akaun Maybank milik Syarikat Visione Construction Sdn Bhd ke akau...