Skip to main content

NAMA dan genius matematik bawa Malaysia di pentas akhir Asia's Got Talent


SINGAPURA -- Kumpulan penyanyi wanita berhijab dari Malaysia, NAMA, yang berjaya ke pusingan akhir rancangan Asia’s Got Talent sedia menjadi ‘trendsetter’ dalam industri hiburan di rantau ini, kata  juri program realiti antarabangsa itu.

“(Kumpulan) ini saya fikir penting untuk dunia melihat...empat gadis moden yang juga orang Islam,” kata David Foster, seorang daripada tiga juri program itu, dalam satu temu bual dengan media di sini.

Empat sekawan iaitu Nur Fazrina Mohd Ani, 28, Noor Syamimi Makhetar, 24, Norfazira Malik, 24, dan Nur Farahida Dolhadi, 24, merupakan satu daripada tiga persembahan yang terpilih menerusi Pilihan Juri sekali gus menolak undian dalam talian untuk menempah tiket ke final.

Foster, pemuzik dan penerbit dari Kanada, kagum dengan konsep dibawa NAMA yang mana walaupun mereka berhijab tetapi ia tidak menghalang mereka untuk membuat persembahan menghiburkan di atas pentas.

“Saya mencadangkan kepada seseorang di LA (Los Angeles). Saya curi sedikit idea...mereka sedang membuat TV perintis mengenai (program) seorang wanita. Saya katakan...kita harus menjadikan seorang daripada mereka dalam kumpulan Muslim ini. Ia akan menjadi sesuatu yang menarik untuk TV Amerika. Dia normal...dia hebat...dia masih boleh berseronok…dia penyanyi yang hebat,” katanya.

Mengulas mengenai seorang lagi peserta dari Malaysia yang berjaya ke final, Yaashwin Sarawanan, Jay Park, penyanyi rap terkenal Amerika-Korea berkata remaja lelaki berusia 15 tahun itu ‘cukup unik’.

“Beliau berbakat dan sangat unik. Saya tidak pernah membayangkan dalam 1,000 tahun seorang lelaki menyelesaikan (masalah) Matematik dengan baik dan berjaya ke peringkat akhir. Ini agak gila,” katanya.

Yaashwin yang menganggap dirinya sebagai penghibur dan bukannya ‘manusia kalkulator’ seperti yang diperkatakan ramai, akan membuat persembahan terakhirnya di Marina Bay Sands di sini bersama NAMA dan tujuh lagi finalis malam ini.

Finalis lain ialah Siti Saniyah (Indonesia), Maniac Family (Taiwan), Shadow Ace (Filipina), Junior Good Vibes (Filipina) dan Eric Chien (Taiwan).

Ditanya mengenai langkah seterusnya bagi pemenang selepas memenangi hadiah wang tunai US$100,000, seorang lagi juri Anggun Cipta Sasmi berkata Asia’s Got Talent menawarkan ‘platform bertaraf dunia’.

“Bagi saya, dunia menjadi semakin kecil. Sebab itu apabila anda menggunakan platform ini sebaiknya, anda boleh menjadi tular dan pergi ke mana-mana bahagian dunia yang anda mahu, dan ia semua bergantung kepada apa yang anda ingin lakukan.

“Hadiah US$100,000 boleh jadi banyak atau sedikit, bergantung kepada apa yang anda mahu buat,” kata penyanyi antarabangsa berasal dari Indonesia itu.

Berkenaan harapan juri pada Asia’s Got Talent musim akan datang, Jay Park berkata: “Saya mahukan penyanyi rap yang bagus.”

“Belum ada lagi penyanyi rap yang melepasi uji bakat juri. Jika ada seorang pasti bagus. Ada ramai (penyanyi rap) yang sangat berbakat di Asia… Maksud saya walaupun di Malaysia...Singapura...Thailand. Saya tidak tahu mengapa tidak ada seorang pun,” katanya.

Pusingan akhir Asia’s Got Talent akan bersiaran pada 8.30 malam ini di saluran AXN (Astro saluran 701) dan AXN HD (Astro saluran 721).

Comments

Popular posts from this blog

Mahkamah meriah dengan tahanan reman lindungi rumah urut

PUTRAJAYA -- Mahkamah Majistret di sini “meriah” susulan prosiding reman beramai-ramai melibatkan 14 individu termasuk tujuh penjawat awam berkaitan dakwaan memberi dan menerima wang sogokan bagi melindungi premis urut di Kuala Lumpur. Tujuh penjawat awam terbabit ialah tiga anggota polis termasuk seorang ketua balai, seorang pegawai bomba dan tiga petugas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Mereka berserta tiga lagi orang awam yang disyaki berperanan sebagai ‘runner’ atau utusan dibawa ke mahkamah itu pada kira-kira 10 pagi menaiki bas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), menyusuli empat lagi individu dipercayai pemilik premis yang tiba di mahkamah itu kira-kira sejam sebelumnya, menaiki van SPRM.    Prosiding reman terhadap kesemua mereka tamat pada kira-kira pukul 1.30 tengah hari denga...

Ancaman obor-obor di Pulau Pinang serius

foto: flick.com GEORGE TOWN -- Kerajaan negeri Pulau Pinang memandang serius kes sengatan obor-obor berbahaya yang mampu menjejaskan aktiviti pelancongan dan sukan air serta laut di negeri ini. Exco Negeri bagi Seni, Budaya dan Warisan Yeoh Soon Hin berkata  kerajaan negeri telah memberikan dana berjumlah RM10,000 pada tahun 2017 kepada Pusat Kajian Samudera  dan Pantai (CEMACS), Universiti Sains Malaysia untuk mebuat pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor berbahaya di perairan Pulau Pinang khususnya di Teluk Bahang, Batu Ferringhi, Tanjung Bungah , Tanjung Tokong dan Pantai Bersih/Robina. "Kajian pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor sedang dijalankan bagi tempoh dua tahun yang akan berakhir pada hujung tahun ini. Fenomena obor-obor ini tidak terhad kepada perairan Pulau Pinang tetapi keseluruhan pantai barat termasuk Pulau Langkawi dan Pulau Pangkor. “Peningkatan kes sengatan obor-obor berkemungkinan besar disebabk...

Datuk Seri didakwa menipu RM19 juta

SHAH ALAM -- Seorang ahli perniagaan bergelar 'Datuk Seri' dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menipu seorang pengarah urusan membabitkan RM19 juta berhubung siasatan projek terowong dasar laut Pulau Pinang, dua tahun lepas. M. G. Gnanaraja, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh. Dia didakwa memperdayakan pengarah urusan Consortium Zenith Construction Sdn Bhd  untuk mempercayai bahawa dia boleh membantu mangsa menutup siasatan yang dimulakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap mangsa di bawah Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. Sehubungan itu, tertuduh didakwa dengan curangnya mendorong pengarah urusan tersebut menyerahkan kepadanya wang tunai RM4 juta dan RM15 juta melalui transaksi akaun Maybank milik Syarikat Visione Construction Sdn Bhd ke akau...