Skip to main content

Pasukan exco ini yang saya selesa bekerja


ISKANDAR PUTERI -- Menteri Besar Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal menafikan wakil rakyat yang dipilih menjadi barisan Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor (EXCO) baru-baru ini adalah ‘pasukan’ Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sebaliknya, kesemua 10 Exco itu merupakan pilihannya sendiri, untuk melaksanakan aspirasi kerajaan Pakatan Harapan (PH) demi kebaikan rakyat Johor dan mengulangi bahawa kesemua Exco dipilih, adalah satu pasukan yang beliau selesa bekerja, dan percaya mereka boleh melaksanakan tanggungjawab membela rakyat dengan baik.

 “Sebetulnya, untuk kita membela rakyat, tiada team pun. Cuma pasukan exco yang ada di keliling saya ini, 10 Exco yang ada ini merupakan satu pasukan yang saya selesa bekerja dengan mereka.

“Tujuan (mereka dilantik) untuk kita untuk menjaga rakyat Johor nilah, jadi tiadalah team A, team B ni,” kata beliau dalam satu temubual khas di pejabatnya di Kota Iskandar.

Dr Sahruddin berkata dengan ada pasukan baru ini, dan dengan kerjasama dengan semua penjawat awam di negeri ini, antara lain adalah untuk memastikan Bangsa Johor iaitu rakyat negeri ini mengecapi keadaan yang aman serta ekonomi yang baik, sekali gus menjadikan taraf hidup mereka lebih baik.

“Inilah team saya, untuk membela nasib rakyat. Sepuluh Exco itulah team saya, untuk membela rakyat,” kata Dr Sahruddin, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepong itu.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai dakwaan sesetengah pihak bahawa ada antara exco baharu yang dipilih merupakan “Team Muhyiddin” sehingga turut menimbulkan persoalan terdapatnya campur tangan dari Istana.

Dr Sahruddin, yang baharu sahaja dilantik menjadi Menteri Besar Johor ke-17 pada 14 April lalu, baharu saja mengumumkan barisan exco Johor yang baharu dua hari lepas (Isnin), menyaksikan dua Exco lama digugurkan manakala tiga exco baharu dilantik.

Beliau menggantikan Datuk Osman Sapian yang meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar pada 8 April lepas.

Dua Exco lama yang digugurkan ialah ADUN Skudai Tan Hong Pin dan ADUN Puteri Wangsa Mazlan Bujang manakala tiga Exco baharu adalah ADUN Bukit Permai Tosrin Jarvanthi, ADUN Tenang Mohd Solihan Badri dan ADUN Jementah Tan Chen Choon.

Ketika ditanya mengenai bagaimana dirinya akan berperanan dalam menyeimbangkan hubungan antara kerajaan persekutuan dan Istana terutama dalam menangani beberapa isu berkaitan, Dr Sahruddin berkata beliau berharap hubungan baik yang terjalin diharap dapat mengharmonikan hubungan kedua-duanya.

“Pertamanya, saya menjunjung titah Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar agar melaksanakan tugas dengan penuh tanggungjawab, jujur, ikhlas dan amanah serta tidak mengutamakan kepentingan diri atau politik, demi kesejahteraan hidup rakyat dan kemakmuran ekonomi Johor,” kata beliau.

Dr Sahruddin menambah, di atas keprihatinan Sultan Ibrahim, hubungan erat antara Istana dan rakyat terjalin.

“Sebetulnya perlu ada semak dan imbang. Keseimbangan antara kerajaan persekutuan dan pihak Istana. 

“Insya-Allah, segala isu saya akan cuba selesaikan dengan baik,” kata beliau.

Comments

Popular posts from this blog

Mahkamah meriah dengan tahanan reman lindungi rumah urut

PUTRAJAYA -- Mahkamah Majistret di sini “meriah” susulan prosiding reman beramai-ramai melibatkan 14 individu termasuk tujuh penjawat awam berkaitan dakwaan memberi dan menerima wang sogokan bagi melindungi premis urut di Kuala Lumpur. Tujuh penjawat awam terbabit ialah tiga anggota polis termasuk seorang ketua balai, seorang pegawai bomba dan tiga petugas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Mereka berserta tiga lagi orang awam yang disyaki berperanan sebagai ‘runner’ atau utusan dibawa ke mahkamah itu pada kira-kira 10 pagi menaiki bas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), menyusuli empat lagi individu dipercayai pemilik premis yang tiba di mahkamah itu kira-kira sejam sebelumnya, menaiki van SPRM.    Prosiding reman terhadap kesemua mereka tamat pada kira-kira pukul 1.30 tengah hari denga...

Ancaman obor-obor di Pulau Pinang serius

foto: flick.com GEORGE TOWN -- Kerajaan negeri Pulau Pinang memandang serius kes sengatan obor-obor berbahaya yang mampu menjejaskan aktiviti pelancongan dan sukan air serta laut di negeri ini. Exco Negeri bagi Seni, Budaya dan Warisan Yeoh Soon Hin berkata  kerajaan negeri telah memberikan dana berjumlah RM10,000 pada tahun 2017 kepada Pusat Kajian Samudera  dan Pantai (CEMACS), Universiti Sains Malaysia untuk mebuat pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor berbahaya di perairan Pulau Pinang khususnya di Teluk Bahang, Batu Ferringhi, Tanjung Bungah , Tanjung Tokong dan Pantai Bersih/Robina. "Kajian pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor sedang dijalankan bagi tempoh dua tahun yang akan berakhir pada hujung tahun ini. Fenomena obor-obor ini tidak terhad kepada perairan Pulau Pinang tetapi keseluruhan pantai barat termasuk Pulau Langkawi dan Pulau Pangkor. “Peningkatan kes sengatan obor-obor berkemungkinan besar disebabk...

Datuk Seri didakwa menipu RM19 juta

SHAH ALAM -- Seorang ahli perniagaan bergelar 'Datuk Seri' dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menipu seorang pengarah urusan membabitkan RM19 juta berhubung siasatan projek terowong dasar laut Pulau Pinang, dua tahun lepas. M. G. Gnanaraja, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh. Dia didakwa memperdayakan pengarah urusan Consortium Zenith Construction Sdn Bhd  untuk mempercayai bahawa dia boleh membantu mangsa menutup siasatan yang dimulakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap mangsa di bawah Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. Sehubungan itu, tertuduh didakwa dengan curangnya mendorong pengarah urusan tersebut menyerahkan kepadanya wang tunai RM4 juta dan RM15 juta melalui transaksi akaun Maybank milik Syarikat Visione Construction Sdn Bhd ke akau...