Skip to main content

Permohonan Najib ditolak Mahkamah Tinggi


KUALA LUMPUR -- Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan bekas Perdana Menteri Datuk Seri  Najib Tun Razak untuk mengetepikan tujuh pertuduhan terhadapnya berkaitan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersetuju bahawa alasan pertuduhan terbabit cacat adalah tidak berasas.

Beliau juga berkata pertuduhan terhadap Najib tidak bersifat pendakwaan dua kali (double jeopardy)  memandangkan setiap pertuduhan adalah berbeza dan sabitan hanya berlaku jika pihak pendakwaan membuktikan setiap pertuduhan. 

“Pihak pendakwaan telah menyerahkan kesemua dokumen kepada pembelaan. Setakat ini, perbicaraan sudah berlangsung selama sembilan hari dan 21 saksi telah memberi keterangan dengan pemeriksaan balas yang ekstensif bersama-sama dokumen daripada saksi yang dibenarkan oleh mahkamah ini.

“Sukar untuk menerima tertuduh telah dikelirukan,” kata hakim.

Beliau juga berkata pengubahan wang haram, pecah amanah dan salah guna kuasa adalah kesalahan-kesalahan yang berbeza dan tiada kependuaan.

“Sehubungan itu, permohonan ini ditolak,” katanya.

Pada 3 April, Najib memfailkan notis usul memohon mengetepikan tujuh pertuduhan terhadapnya atas alasan pertuduhan terbabit menyalahgunakan proses mahkamah serta defektif dari segi bentuk dan substans.

Mohd Nazlan pada hari sama menolak permohonan Najib agar notis usulnya didengar dahulu sebelum perbicaraan berlangsung.

Jumaat lepas, hakim menetapkan hari ini untuk membuat keputusan terhadap permohonan itu selepas mendengar hujah peguam-peguam  Najib - Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden dan  Datuk Kamarul Hisham Kamaruddin - serta pendakwa raya ad hoc Datuk V. Sithambaram.

Najib, 66, didakwa atas tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kedudukan dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Comments

Popular posts from this blog

Mahkamah meriah dengan tahanan reman lindungi rumah urut

PUTRAJAYA -- Mahkamah Majistret di sini “meriah” susulan prosiding reman beramai-ramai melibatkan 14 individu termasuk tujuh penjawat awam berkaitan dakwaan memberi dan menerima wang sogokan bagi melindungi premis urut di Kuala Lumpur. Tujuh penjawat awam terbabit ialah tiga anggota polis termasuk seorang ketua balai, seorang pegawai bomba dan tiga petugas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Mereka berserta tiga lagi orang awam yang disyaki berperanan sebagai ‘runner’ atau utusan dibawa ke mahkamah itu pada kira-kira 10 pagi menaiki bas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), menyusuli empat lagi individu dipercayai pemilik premis yang tiba di mahkamah itu kira-kira sejam sebelumnya, menaiki van SPRM.    Prosiding reman terhadap kesemua mereka tamat pada kira-kira pukul 1.30 tengah hari denga...

Ancaman obor-obor di Pulau Pinang serius

foto: flick.com GEORGE TOWN -- Kerajaan negeri Pulau Pinang memandang serius kes sengatan obor-obor berbahaya yang mampu menjejaskan aktiviti pelancongan dan sukan air serta laut di negeri ini. Exco Negeri bagi Seni, Budaya dan Warisan Yeoh Soon Hin berkata  kerajaan negeri telah memberikan dana berjumlah RM10,000 pada tahun 2017 kepada Pusat Kajian Samudera  dan Pantai (CEMACS), Universiti Sains Malaysia untuk mebuat pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor berbahaya di perairan Pulau Pinang khususnya di Teluk Bahang, Batu Ferringhi, Tanjung Bungah , Tanjung Tokong dan Pantai Bersih/Robina. "Kajian pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor sedang dijalankan bagi tempoh dua tahun yang akan berakhir pada hujung tahun ini. Fenomena obor-obor ini tidak terhad kepada perairan Pulau Pinang tetapi keseluruhan pantai barat termasuk Pulau Langkawi dan Pulau Pangkor. “Peningkatan kes sengatan obor-obor berkemungkinan besar disebabk...

Datuk Seri didakwa menipu RM19 juta

SHAH ALAM -- Seorang ahli perniagaan bergelar 'Datuk Seri' dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menipu seorang pengarah urusan membabitkan RM19 juta berhubung siasatan projek terowong dasar laut Pulau Pinang, dua tahun lepas. M. G. Gnanaraja, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh. Dia didakwa memperdayakan pengarah urusan Consortium Zenith Construction Sdn Bhd  untuk mempercayai bahawa dia boleh membantu mangsa menutup siasatan yang dimulakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap mangsa di bawah Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. Sehubungan itu, tertuduh didakwa dengan curangnya mendorong pengarah urusan tersebut menyerahkan kepadanya wang tunai RM4 juta dan RM15 juta melalui transaksi akaun Maybank milik Syarikat Visione Construction Sdn Bhd ke akau...