SEREMBAN -- Seorang pengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau membuat laporan polis semalam selepas menerima panggilan telefon memintanya mengambil wang RM50 di kaunter Barisan Nasional (BN) sebelum mengundi pada 13 April nanti.
Pan Choo Chang, 72, yang juga Ketua MCA Kuala Sawah, berkata panggilan itu diterimanya pada jam 1.45 tengah hari semalam daripada seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai `Nuar'.
"Saya seterusnya mengatakan kepada pemanggil itu bahawa ini kerja gila dan perbuatan itu salah di sisi undang-undang sebelum mematikan panggilan.
"Saya nafikan pihak BN buat panggilan sedemikian dan tidak mahu orang ramai tertipu dengan panggilan tersebut," katanya dalam satu sidang media di bilik gerakan MCA Rantau, di sini.
Hadir sama, Timbalan Presiden MCA, Datuk Mah Han Soon.
Pan membuat laporan polis itu di Balai Polis Kuala Sawah di sini, pada jam 5.50 petang semalam.
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Media Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi PRK DUN Rantau, DSP Ahmad Jamaludin mengesahkan polis telah menerima laporan itu.
PRK DUN Rantau akan menyaksikan pertembungan empat penjuru antara calon Pakatan Harapan (PH) Dr S. Streram, calon BN, Datuk Seri Mohamad Haxsan dan dua calon Bebas iaitu suri rumah R.Malarvizhi dan bekas pensyarah Mohd Nor Yassin.
Comments
Post a Comment