Skip to main content

Terengganu batal projek bas amphicoach


KUALA TERENGGANU -- Kerajaan negeri Terengganu akan membatalkan projek pembelian sebuah bas amphicoach atau dikenali bas dua alam, meskipun sudah membayar sebanyak RM2.7 juta untuk bas itu dengan baki pembayaran sebanyak RM336,350.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Negeri, Ariffin Deraman berkata ia berikutan pihak kontraktor tidak dapat mematuhi syarat dan terma kontrak selaras dengan klausa 20 (a), Penamatan Pengajian Kontraktor.

Ariffin berkata bas amfibia itu juga gagal mendapat kelulusan pendaftaran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Laut Malaysia bagi membolehkannya beroperasi di darat dan laut.

"Modifikasi yang dilakukan terhadap kenderaan itu juga tidak menepati kehendak JPJ dan Taman Laut, malah Mesyuarat Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam (PAC) negeri Terengganu juga bersetuju dengan syor Jabatan Kerja Raya untuk menamatkan kontraktor itu," katanya.  di luar persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu.

Awal tahun lepas, bas itu tenggelam di Sungai Terengganu semasa dipandu uji bekas menteri besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman.

Ditanya sama ada kerajaan negeri akan menerima semula wang yang telah dibayar itu, Ariffin berkata lazimnya ia akan dipulangkan apabila proses pembelian ditamatkan dan menyerahkan perkara itu kepada Penasihat Undang-Undang Negeri untuk perincian lanjut.

Terdahulu, dalam sesi soal jawab lisan, Hishamuddin Abdul Karim (PAS-Tepoh) meminta penjelasan kerajaan negeri  mengenai status terkini Amphicoach dan perancangan kerajaan negeri untuk memanfaatkannya dalam industri pelancongan.

 Ariffin yang mengumpamakan projek Amphicoach itu sebagai  'pesakit kronik yang tidak boleh disembuhkan oleh doktor'  menarik perhatian dewan antaranya Ahmad Said, yang merupakan ADUN Kijal, dengan bertanya sama ada JPJ tidak boleh bertolak ansur dalam memberi kelulusan operasi.

Isu itu lebih hangat apabila dewan diberitahu bahawa kenderaan bas amfibia yang tiba di Terengganu ialah daripada jenama MAN bukannya Iveco Bus seperti yang ditempah namun menjelaskan ia adalah keputusan kerajaan negeri sebelum ini berdasarkan ketahanan dan kelasakan jenama itu.

Selain beberapa masalah teknikal lain, bas jenama MAN yang mempunyai 42 tempat duduk penumpang juga tidak mendapat kelulusan JPJ kerana tidak menepati kehendak teknikal agensi itu termasuk masalah untuk memindahkan penumpang sekiranya berlaku kecemasan di air.

Pembelian Amphicoach itu diilhamkan bekas menteri besar Datuk Seri Ahmad Said yang mahu ia digunakan untuk membawa pelancong ke beberapa tempat menarik sekitar bandar sebelum menyusuri Sungai Terengganu.

Comments

Popular posts from this blog

Mahkamah meriah dengan tahanan reman lindungi rumah urut

PUTRAJAYA -- Mahkamah Majistret di sini “meriah” susulan prosiding reman beramai-ramai melibatkan 14 individu termasuk tujuh penjawat awam berkaitan dakwaan memberi dan menerima wang sogokan bagi melindungi premis urut di Kuala Lumpur. Tujuh penjawat awam terbabit ialah tiga anggota polis termasuk seorang ketua balai, seorang pegawai bomba dan tiga petugas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Mereka berserta tiga lagi orang awam yang disyaki berperanan sebagai ‘runner’ atau utusan dibawa ke mahkamah itu pada kira-kira 10 pagi menaiki bas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), menyusuli empat lagi individu dipercayai pemilik premis yang tiba di mahkamah itu kira-kira sejam sebelumnya, menaiki van SPRM.    Prosiding reman terhadap kesemua mereka tamat pada kira-kira pukul 1.30 tengah hari denga...

Ancaman obor-obor di Pulau Pinang serius

foto: flick.com GEORGE TOWN -- Kerajaan negeri Pulau Pinang memandang serius kes sengatan obor-obor berbahaya yang mampu menjejaskan aktiviti pelancongan dan sukan air serta laut di negeri ini. Exco Negeri bagi Seni, Budaya dan Warisan Yeoh Soon Hin berkata  kerajaan negeri telah memberikan dana berjumlah RM10,000 pada tahun 2017 kepada Pusat Kajian Samudera  dan Pantai (CEMACS), Universiti Sains Malaysia untuk mebuat pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor berbahaya di perairan Pulau Pinang khususnya di Teluk Bahang, Batu Ferringhi, Tanjung Bungah , Tanjung Tokong dan Pantai Bersih/Robina. "Kajian pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor sedang dijalankan bagi tempoh dua tahun yang akan berakhir pada hujung tahun ini. Fenomena obor-obor ini tidak terhad kepada perairan Pulau Pinang tetapi keseluruhan pantai barat termasuk Pulau Langkawi dan Pulau Pangkor. “Peningkatan kes sengatan obor-obor berkemungkinan besar disebabk...

Datuk Seri didakwa menipu RM19 juta

SHAH ALAM -- Seorang ahli perniagaan bergelar 'Datuk Seri' dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menipu seorang pengarah urusan membabitkan RM19 juta berhubung siasatan projek terowong dasar laut Pulau Pinang, dua tahun lepas. M. G. Gnanaraja, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh. Dia didakwa memperdayakan pengarah urusan Consortium Zenith Construction Sdn Bhd  untuk mempercayai bahawa dia boleh membantu mangsa menutup siasatan yang dimulakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap mangsa di bawah Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. Sehubungan itu, tertuduh didakwa dengan curangnya mendorong pengarah urusan tersebut menyerahkan kepadanya wang tunai RM4 juta dan RM15 juta melalui transaksi akaun Maybank milik Syarikat Visione Construction Sdn Bhd ke akau...