Skip to main content

Tokoh korporat pernah terima cek RM2.5 juta


KUALA LUMPUR -- Seorang peguam dari Firma Guaman Tetuan Zulkarnain & Co memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa seorang tokoh korporat, Datuk Habibul Rahman Kadir Shah  pernah menerima cek berjumlah RM2.5 juta pada 2015.

Ashraf Abdul Razak, 48, yang merupakan peguam peribadi Habibul Rahman sejak 1996, berkata dia diberitahu oleh tokoh korporat itu bahawa cek berkenaan yang bertarikh 2 Feb 2015 adalah bayaran berkaitan dengan rundingan bekalan kontrak pertahanan dan dia diminta menguruskan cek tersebut.

Habibul Rahman dikatakan pernah menjadi penasihat media kepada Datuk Seri Najib Tun Razak.

Saksi pendakwaan Ke-18 itu berkata setelah cek tersebut didepositkannya, Habibul Rahman telah mengarahkannya mengeluarkan cek kepada isteri, anak-anaknya dan beberapa individu lain yang ditentukan tokoh korporat itu.

“Beliau (Habibul Rahman) berjumpa dengan saya dan memaklumkan bahawa beliau akan menerima pembayaran untuk khidmat rundingan bagi satu perkhidmatan bekalan ‘defence contract’.

“Beliau memaklumkan pecahan pembayaran beliau akan telitikan kepada saya kelak. Pada masa saya dipanggil untuk mengambil cek ini ada disediakan sepucuk nota kecil sebagai pengakuan antara beliau dan saya mengenai cek ini yang ditandatangani oleh beliau,” katanya.

Saksi pendakwaan ke-18 itu berkata demikian ketika pemeriksaan utama Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi pada perbicaraan hari kelapan kes dana SRC International Sdn Bhd yang dihadapi Najib.

Ashraf berkata ketika itu juga Habibul Rahman sedang menjalankan urusan bagi mendapatkan sebuah tender bagi Syarikat  Fuelsubs House Sdn Bhd (FSH), untuk mengurus subsidi minyak petrol dan Habibul Rahman adalah pengarah urusan syarikat tersebut.

Kepada soalan Muhammad Saifuddin adakah Habibul Rahman memberitahu daripada siapakah pembayaran itu diterima, saksi itu berkata, “tidak”.

Mengulas lanjut Ashraf berkata setelah beliau menerima cek itu yang diambil dari Habibul Rahman sendiri di kediaman tokoh korporat itu, beliau telah mendepositkannya ke dalam akaun semasa Bank CIMB atas nama firma guaman itu.

“Setelah (cek) dimasukkan, selanjutnya   beliau mengeluarkan arahan kepada saya untuk mengeluarkan cek-cek kepada antara lain isteri beliau dan anak-anak beliau secara berkala. Selepas itu beliau mengarahkan saya untuk mengeluarkan cek-cek lain kepada pihak-pihak yang beliau tentukan,” katanya.

Ketika ditanya adakah Ashraf tahu kenapa Habibul Rahman memilih untuk menyerahkan cek itu kepadanya dan bukan Habibul Rahman sendiri yang mendepositkan cek tersebut ke dalam akaun, saksi itu berkata dia tidak tahu. 

Menjawab soalan adakah saksi itu menguruskan kesemua wang RM2.5 juta itu sehingga ianya habis, beliau  berkata, “Ya, semua pembayaran berjumlah RM2.5 juta itu sudah dilunaskan termasuk yuran guaman berjumlah RM50,000.”

Ashraf juga berulang kali menyatakan beliau tidak tahu sumber wang itu dan tidak pernah bertanyakan Habibul Rahman mengenainya kerana lelaki itu seorang tokoh korporat yang disegani.

“Saya telah lama mengenali beliau, pada pandangan saya, disebabkan kedudukan beliau sebagai toloh korporat agak disegani, beliau merupakan ahli lembaga pengarah beberapa syarikat GLC, jadi saya tidak terfikir untuk bertanyakan,” katanya.

Ketika disoal balas peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib, bahawa adakah kemungkinan Ashraf terlupa apa yang diberitahu Habibul Rahman berkenaan cek tersebut sama ada ia untuk kontrak pertahanan atau perkara lain, saksi  itu berkata, “Tidak, saya jelas beliau  berkata kepada saya ia dari ‘defence contract’.

Saksi ke-19, Timbalan Pengurus Besar Jabatan Operasi Penjelasan Cek Bank Cimb,  Edward anak lelaki Innasi Born, 58, mengesahkan cek berjumlah RM2.5 juta telah didepositkan ke dalam akaun bank CIMB milik  Firma Guaman Tetuan Zulkarnain & Co bertarikh 2 Feb 2015.

Saksi itu yang telah berkhidmat sebagai timbalan pengurus besar di jabatan itu sejak 2004 turut mengecamkan salinan cek tersebut yang ditunjukkan pihak pendakwaan.

Najib, 66, didakwa atas tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kedudukan dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung pull 2.30 petang.

Comments

Popular posts from this blog

Mahkamah meriah dengan tahanan reman lindungi rumah urut

PUTRAJAYA -- Mahkamah Majistret di sini “meriah” susulan prosiding reman beramai-ramai melibatkan 14 individu termasuk tujuh penjawat awam berkaitan dakwaan memberi dan menerima wang sogokan bagi melindungi premis urut di Kuala Lumpur. Tujuh penjawat awam terbabit ialah tiga anggota polis termasuk seorang ketua balai, seorang pegawai bomba dan tiga petugas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Mereka berserta tiga lagi orang awam yang disyaki berperanan sebagai ‘runner’ atau utusan dibawa ke mahkamah itu pada kira-kira 10 pagi menaiki bas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), menyusuli empat lagi individu dipercayai pemilik premis yang tiba di mahkamah itu kira-kira sejam sebelumnya, menaiki van SPRM.    Prosiding reman terhadap kesemua mereka tamat pada kira-kira pukul 1.30 tengah hari denga...

Ancaman obor-obor di Pulau Pinang serius

foto: flick.com GEORGE TOWN -- Kerajaan negeri Pulau Pinang memandang serius kes sengatan obor-obor berbahaya yang mampu menjejaskan aktiviti pelancongan dan sukan air serta laut di negeri ini. Exco Negeri bagi Seni, Budaya dan Warisan Yeoh Soon Hin berkata  kerajaan negeri telah memberikan dana berjumlah RM10,000 pada tahun 2017 kepada Pusat Kajian Samudera  dan Pantai (CEMACS), Universiti Sains Malaysia untuk mebuat pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor berbahaya di perairan Pulau Pinang khususnya di Teluk Bahang, Batu Ferringhi, Tanjung Bungah , Tanjung Tokong dan Pantai Bersih/Robina. "Kajian pemantauan taburan dan kepadatan obor-obor sedang dijalankan bagi tempoh dua tahun yang akan berakhir pada hujung tahun ini. Fenomena obor-obor ini tidak terhad kepada perairan Pulau Pinang tetapi keseluruhan pantai barat termasuk Pulau Langkawi dan Pulau Pangkor. “Peningkatan kes sengatan obor-obor berkemungkinan besar disebabk...

Datuk Seri didakwa menipu RM19 juta

SHAH ALAM -- Seorang ahli perniagaan bergelar 'Datuk Seri' dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menipu seorang pengarah urusan membabitkan RM19 juta berhubung siasatan projek terowong dasar laut Pulau Pinang, dua tahun lepas. M. G. Gnanaraja, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh. Dia didakwa memperdayakan pengarah urusan Consortium Zenith Construction Sdn Bhd  untuk mempercayai bahawa dia boleh membantu mangsa menutup siasatan yang dimulakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap mangsa di bawah Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. Sehubungan itu, tertuduh didakwa dengan curangnya mendorong pengarah urusan tersebut menyerahkan kepadanya wang tunai RM4 juta dan RM15 juta melalui transaksi akaun Maybank milik Syarikat Visione Construction Sdn Bhd ke akau...