LOMBOK (Indonesia) -- Pulau Lombok di Indonesia mendapat rangsangan dalam usaha pelancongannya dengan pembukaan hab terbaru AirAsia di pulau itu.
Syarikat penerbangan tambang rendah itu akan melancarkan penerbangan antarabangsanya yang pertama dari Lombok ke Perth, Australia, pada Jun tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Indonesia Dendy Kurniawan ketika merasmikan hab tersebut berkata ia akan menyaksikan pertumbuhan menyeluruh di pulau itu, yang terjejas apabila beberapa kawasan terkesan oleh kejadian gempa bumi pada tahun lepas.
Hab itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan untuk menyokong kerajaan Indonesia dan inisiatif Kementerian Pelancongan untuk membangunkan Lombok sebagai satu daripada “10’ Bali baharu'’.
Sempena pelancaran itu, Dendy berkata AirAsia juga telah memperkenalkan rekaan berbentuk hati yang direka khas untuk menyokong promosi pelancongan Lombok.
“Reka bentuk ini menampilkan ikon pelancongan tempatan, seperti Gunung Rinjani yang megah dan daya tarikan laut di Pulau Gili, terletak di barat laut Lombok, tambahnya.
Pesawat Airbus A320 akan digunakan untuk penerbangan ke Perth dari Lapangan Terbang Antarabangsa Zainuddin Abdul Madjid, Lombok. AirAsia juga akan menghubungkan destinasi domestik seperti Jakarta, Yogyakarta dan Bali dari Lombok.
Dendy berkata hab itu menjanjikan yang terbaik untuk pulau itu yang kaya dengan keindahan pelancongannya yang mempesonakan.
“Pembangunan baharu itu bukan sahaja akan meningkatkan hubungan antarabangsa dan domestik, tetapi juga mewujudkan peluang pekerjaan tempatan, merangsang pertumbuhan pelancongan dan menyumbang kepada kepentingan ekonomi Lombok oleh pengunjung,” katanya.
Dendy juga berkata, data Kementerian Pelancongan menunjukkan AirAsia kekal sebagai syarikat penerbangan terbesar yang membawa pelancong antarabangsa ke negara itu pada 2018, sebanyak 3.2 juta atau 25 peratus dari keseluruhan 12.8 juta.
Lombok akan menjadi hab kelima AirAsia di Indonesia selepas Jakarta, Surabaya, Medan dan Bali.
Sejak memperkenalkan penerbangan dari Kuala Lumpur ke Lombok pada 2012, AirAsia telah membawa lebih sejuta pelancong antarabangsa ke destinasi popular itu.
Comments
Post a Comment